28 Julai 2009

Sejarah Algebra

Perkataan ‘Algebra’ berasal daripada perkataan ‘aljabar’ iaitu tajuk sebuah buku yang ditulis oleh al-Khwarizmi ( 780-850 )Al-Jabbr Wa Al-Muqabala. Cabang ilmu matematik yang penting ini diperkenalkan oleh sarjana matematik dan juga ulama terkemuka Islam iaitu al-Khwarizmi.

Maksud ‘aljabar’ ialah kembalikan. Dalam konteks matematik ia merujuk kepada mengembalikan imbangan pada persamaan dengan meletakkan di sebelah persamaan sesuatu yang diambil daripada sebelah lain. Sebagai contoh:

Jika kita ambil – 4 daripada persamaan x-4 = 8, maka imbangan perlu dilakukan dengan menulis seperti berikut: x = 8 + 4.

Sarjana Islam telah membuat kemajuan yang penting dalam bidang algebra. Persamaan yang melibatkan kuasa dua dan kuasa tiga telah berjaya diselesaikan sebelum pencapaian ahli matematik Renaisance. Penggunaan abjad dalam algebra seperti x, y, a, b dan sebagainya dipelopori oleh Abu al-Hassan Ali Ibn Muhammad al-Qasadi (1412-1487).

Penerokaan bidang algebra oleh al-Khwarizmi merupakan sumbangan yang besar kepada dunia matematik. Algebra bukan sahaja memberi manfaat kepada dunia amnya tetapi juga kepada umat Islam sepertimana yang pernah dijelaskan dengan penuh tawadduk oleh al-Khwarizmi iaitu sebagai satu ibadah untuk menyelesaikan berbagai-bagai masalah dalam hukum syariah seperti faraid, perniagaan, pembahagian tanah dan sebagainya. Sesungguhnya penyelidikan matematik oleh sarjana Islam adalah berdasarkan tanggungjwab (fardu kifayah) untuk membantu masyarakat dan bersifat terarah manakala penyelidikan sarjana Eropah lebih kepada minat individu dan kadangkala tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat.

Sumber Rujukan: Ringkasan Sejarah Sains – Wan Fuad Wan Hassan – Jabatan Geologi UKM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan